PDRM siasat dakwaan lelaki cedera dipukul anggota polis

1 Feb 2026, 5:47 AM
PDRM siasat dakwaan lelaki cedera dipukul anggota polis

SHAH ALAM, 1 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki cedera akibat dipukul polis ketika Ops Samseng Jalanan di Dungun, Terengganu baru-baru ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin, berkata kertas siasatan kes tersebut telah dibuka di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan pihaknya menegaskan tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat, lapor Berita Harian.

"Untuk makluman, kita telah menerima laporan berkaitan kejadian tersebut dan siasatan akan dijalankan. Dakwaan membabitkan seorang individu yang mendakwa dipukul (cedera dipukul polis).

"Siasatan dibuka di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Jika hasil siasatan mendapati dakwaan itu benar dan membabitkan anggota PDRM, saya tidak akan melindungi mana-mana pelaku dan tindakan tegas akan diambil," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Terengganu di Kuala Nerus, hari ini.

Semalam, tular di media sosial hantaran yang memaparkan beberapa gambar seorang lelaki cedera, didakwa dipukul oleh anggota polis semasa operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata pihaknya mengesahkan terdapat satu video yang tular berkaitan kejadian lelaki yang didakwa cedera dipukul, namun perbuatan memukul seperti yang didakwa tidak kelihatan dalam rakaman berkenaan.

Bagaimanapun, dakwaan berkenaan tetap diambil serius dan siasatan akan dijalankan secara lebih terperinci bagi mengenal pasti fakta sebenar kejadian.

"Kita telah memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Dungun untuk menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti individu terbabit dalam kes berkenaan.

"Ketika ini, siasatan masih diteruskan dengan memanggil pengadu bagi melengkapkan keterangan. Sekiranya terdapat saksi yang melihat kejadian terbabit, maklumat mereka juga akan diambil kira," katanya.

Beliau berkata siasatan masih berjalan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619