Pakar ekonomi sokong portfolio khas tangani kemiskinan bandar

1 Feb 2026, 5:08 AM
Pakar ekonomi sokong portfolio khas tangani kemiskinan bandar

SHAH ALAM, 1 FEB: Isu kemiskinan bandar tidak boleh ditangani secara berkesan melalui pendekatan berpecah-pecah, sebaliknya memerlukan satu badan penyelaras khusus di peringkat Persekutuan, kata seorang pakar ekonomi, menyokong gesaan Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pakar ekonomi dan Pensyarah Adjung Universiti Teknologi Petronas (UTP), Samirul Ariff Othaman berkata, pendekatan berpusat hanya akan berkesan jika badan itu berperanan menyelaras usaha Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan, bukan diwujudkan sebagai satu lagi program berasingan.

Menurut beliau, cadangan Amirudin mengambil kira hakikat bahawa tanpa fokus khusus, intervensi kemiskinan hanya menangani gejala dan bukan punca sebenar, terutama di kawasan bandar yang berdepan cabaran perumahan, pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan kos sara hidup.

Pakar ekonomi dan Pensyarah Adjung Universiti Teknologi Petronas (UTP), Samirul Ariff Othaman

“Ia boleh berkesan jika berfungsi sebagai penyelaras sistem, bukan satu lagi program berasingan. Hujah Amirudin ialah tanpa fokus khusus, usaha hanya merawat gejala, dan beliau secara jelas menekankan keperluan penyelarasan antara Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada Media Selangor.

Samirul mengulas perbahasan Amirudin di Dewan Rakyat pada 28 Januari lalu, apabila Dato' Menteri Besar mencadangkan penubuhan kementerian khusus untuk menangani kemiskinan bandar di Malaysia.

Beliau berkata langkah itu penting bagi menangani isu kemiskinan bandar secara lebih menyeluruh, memandangkan kesannya yang luas dan kompleks terhadap masyarakat, termasuk masalah kekurangan zat makanan, kesukaran pembelajaran serta kesan jangka panjang yang menyebabkan keluarga terus bergelut.

Kakitangan MBPJ mengagihkan sumbangan makanan asas kepada penduduk melalui program PJ City Food Bank. Foto MBPJ

Menurut Samirul, bagi memastikan portfolio itu berkesan, ia perlu memberi keutamaan kepada pelaksanaan dan hasil, mempunyai kuasa menyelaras peruntukan, berkongsi data antara agensi serta menetapkan petunjuk prestasi yang jelas, di samping mengelakkan pertindihan dengan program kebajikan dan kos sara hidup sedia ada.

“Kemiskinan bandar perlu dilihat sebagai gabungan risiko isi rumah, bukan sekadar satu garis pendapatan.

“Apa yang sering berkesan dan boleh diukur ialah program pemakanan kanak-kanak dan kesihatan ibu yang disasar, termasuk makanan sekolah, program mikronutrien dan saringan kesihatan komuniti di kawasan bandar berisiko tinggi,” katanya.

Beliau menegaskan pemantauan hasil berasaskan lokaliti amat penting bagi memastikan dasar benar-benar memberi kesan, bukan sekadar perbelanjaan tanpa hasil yang jelas.

BERITA PENUH DI SINI

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619