Cuaca panas: Melaka catat 20 kebakaran belukar, lalang dalam 12 jam

1 Feb 2026, 12:05 AM
Cuaca panas: Melaka catat 20 kebakaran belukar, lalang dalam 12 jam

MELAKA, 31 JAN: Sebanyak 20 kes kebakaran terbuka melibatkan kawasan belukar, lalang dan sampah direkodkan di Melaka hari ini dalam tempoh 12 jam bermula 6 pagi semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata kebakaran berkenaan berpunca daripada cuaca panas dan kering selain pembakaran terbuka tidak terkawal serta aktiviti manusia.

"Insiden kebakaran terbuka yang berlaku menunjukkan trend peningkatan melibatkan kawasan awam dan perumahan, dengan 20 kes direkodkan hari ini dalam tempoh 12 jam.

"Kebakaran yang berlaku melibatkan skala kecil yang berjaya dipadam dalam tempoh kurang 30 minit, manakala kebakaran skala besar hingga 6.07 hektar memerlukan operasi berterusan hingga lebih enam jam," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata operasi yang mengambil masa lama itu turut melibatkan pemantauan, pemadaman menyeluruh dan kawalan titik panas di kawasan kebakaran agar tidak merebak.

Mohd Hafidzatullah berkata kawasan terlibat antaranya Kampung Janda Berhias, Kampung Langkap, Kampung Tanah Merah Baru, Kampung Solok Mak Yah, Taman Merdeka Jaya, Taman Krubong Indah, Taman Bachang Baru serta Residence Prima dan A'Famosa.

“Kesemua kebakaran berkenaan berjaya dikawal sepenuhnya oleh anggota bomba bertugas dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619