Malek Razak Panglima Angkatan Tentera baharu

31 Jan 2026, 2:30 AM
Malek Razak Panglima Angkatan Tentera baharu

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu berkuat kuasa esok.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan Malek Razak dinaikkan ke pangkat daripada Leftenan Jeneral ke Jeneral seterusya dilantik sebagai PAT.

"Pelantikan ini dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Jan lepas dan seterusnya telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Jan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PAT ke-24 itu memiliki kelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Master of Arts in Defence Studies daripada King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) daripada UKM.

Malek Razak memulakan perkhidmatan pada 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom dan ditauliahkan pada 11 Dis 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.

Mohamed Khaled berkata Malek Razak memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja dan berkhidmat di pelbagai pasukan dengan memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf.

“Jawatan terakhir beliau sebelum pelantikan ini ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat,” katanya.

Beliau berkata sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, Malek Razak telah mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang tinggi.

“Berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, Kementerian Pertahanan yakin pelantikan ini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan ATM dalam mendepani cabaran pertahanan negara, di samping memulihkan dan memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan yang berteraskan integriti dan profesionalisme serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619