PM seru semua pihak main peranan angkat martabat sektor pelancongan, jayakan TMM2026

30 Jan 2026, 3:03 PM
PM seru semua pihak main peranan angkat martabat sektor pelancongan, jayakan TMM2026

SUBANG JAYA, 30 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pihak perlu memainkan peranan untuk berikhtiar mengangkat martabat negara dalam sektor pelancongan.

Beliau berkata usaha memajukan pelancongan tidak boleh digalas oleh kerajaan sahaja, sebaliknya memerlukan penyertaan menyeluruh merangkumi sektor awam, swasta, badan pelancongan, syarikat serta masyarakat.

“Sebab itu kita harus pastikan semua aspek kegiatan kita, pelancongan yang merupakan satu daripada intinya, yang memerlukan penyertaan semua. Sikap kita, senyuman kita, kerja kita, kesediaan kita mengolah cara-cara tarikan baharu.

“Sektor kerajaan, sektor awam, sektor swasta, badan-badan pelancongan, syarikat, semua ini mengambil peranan melihat secara positif bagaimana boleh kita usahakan ikhtiar tambahan untuk mengangkat martabat negara kita,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika melancarkan Cerita Malaysia Kita sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di Surf Beach, Sunway Lagoon, di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata potensi negara adalah besar dengan sambutan serta petunjuk pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan ketika ini, namun keadaan itu turut disertai cabaran yang perlu ditangani secara bersama.

“Negara boleh maju dan terserlah sebagai negara hebat, tetapi negara juga boleh mendatar atau merosot. Rakyat telah memilih untuk mencapai kemajuan yang membanggakan dan berjaya,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata kejayaan hanya dapat dicapai melalui semangat berpasukan dan sokongan antara satu sama lain, selain mengurangkan perbalahan serta sentimen kebencian berasaskan kaum dan agama.

“Ini bukan soal menang atau kalah. Usaha ini memerlukan penyertaan semua pihak serta komitmen untuk memastikan setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak berjaya di negara ini, sambil menerima sokongan dan dorongan yang diperlukan,” kata beliau.

Pada majlis dianjurkan bersama Sunway Theme Parks dan Westar Group, Perdana Menteri turut melancarkan dua inisiatif utama iaitu koleksi khas Sunway Tiny Toys yang mengetengahkan ikon harian Malaysia sebagai cenderamata berinspirasikan warisan, serta program Malaysia Attraction Passport (MAP) iaitu program yang menggalakkan penerokaan domestik melalui pengalaman interaktif merentasi empat tarikan utama mesra keluarga.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619