Tong gas dalam rumah meletup, seorang wanita kritikal

30 Jan 2026, 12:29 PM
Tong gas dalam rumah meletup, seorang wanita kritikal

SHAH ALAM, 30 JAN: Seorang wanita warga emas melecur hampir seluruh badan dalam kejadian letupan tong gas di sebuah rumah di Taman Kledang Emas, Ipoh, Perak, awal pagi tadi.

Kejadian sekitar jam 4 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 63 tahun bersama dua anaknya berada di rumah dua tingkat tersebut, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata sebelum kejadian, anak perempuan mangsa yang berada di tingkat atas rumah terhidu bau gas yang kuat.

Dia kemudiannya mengejutkan ibu dan adik untuk keluar dari rumah sebagai langkah berjaga-jaga.

"Dalam cubaan keluar dari rumah, warga emas terbabit dipercayai cuba menutup injap tong gas sebelum berlaku letupan secara tiba-tiba sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan serius," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati letupan mungkin berpunca daripada gas yang terkumpul di dalam rumah berkenaan.

Katanya, letupan bukan sahaja mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan melecur di muka dan hampir seluruh badan, malah pintu kaca hadapan rumah turut pecah dan besi jeriji tercabut akibat impak letupan.

"Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan berada dalam keadaan kritikal selepas ditidurkan bagi rawatan lanjut.

"Dalam kejadian ini, kedua-dua anak mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619