Perarakan Naga Api meriahkan Pandamaran sempena Tahun Baharu Cina

30 Jan 2026, 12:56 PM
Perarakan Naga Api meriahkan Pandamaran sempena Tahun Baharu Cina
Perarakan Naga Api meriahkan Pandamaran sempena Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 30 JAN: Perarakan Naga Api yang pertama kali dianjurkan di Selangor bakal menyaksikan kemunculan naga sepanjang 51.2 meter dari Hong Kong sebagai tarikan utama.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandamaran, Leong Tuck Chee berkata perarakan sejauh lima kilometer itu akan bermula di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pandamaran A serta sekitar kawasan Pandamaran, Klang pada 7 dan 8 Mac ini.

“Ini julung kali kita adakan di Selangor. Sebelum ini, kita hanya buat rumah terbuka, tetapi kali ini Pandamaran mahu tonjolkan persembahan kebudayaan yang menarik kepada semua lapisan masyarakat.

“Perarakan Naga Api ini akan diadakan pada 7 dan 8 Mac bermula jam 7 malam, dengan acara kemuncaknya adalah pada malam 8 Mac tersebut. Kita akan buat ini sebagai acara tahunan,” katanya kepada Media Selangor.

Tuck Chee menambah, pihaknya turut mengambil inisiatif menggantung sebanyak 600 lampu tanglung di Lebuh Turi, Persiaran Pegaga dan sekitar jalan raya di Pandamaran.

Bagi memeriahkan suasana Tahun Baharu Cina, katanya, beliau akan mengedarkan 400 kotak limau dan paket angpau kepada penduduk di beberapa lokasi tumpuan, bermula Ahad ini.

“Selain itu, saya bersama pasukan juga turut memberikan sumbangan barangan keperluan harian kepada golongan yang tidak bernasib baik bagi membantu persediaan sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Tahun Baharu Cina 2026 akan disambut pada 17 Februari ini, menandakan kedatangan Tahun Kuda mengikut kalendar lunar Cina.

Tahun Kuda membawa simbol kebebasan, tenaga, dan nasib yang baik. Kuda juga dianggap sebagai lambang keanggunan dan kelajuan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619