Sistem amaran awal bencana, pendakwaan syaiah antara tumpuan Dewan Rakyat

26 Jan 2026, 12:40 AM
Sistem amaran awal bencana, pendakwaan syaiah antara tumpuan Dewan Rakyat
Sistem amaran awal bencana, pendakwaan syaiah antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Isu keberkesanan sistem amaran awal bencana dalam menyalurkan maklumat secara pantas dan menyeluruh menjadi antara perkara yang dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengajukan soalan itu kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi mengetahui keberkesanan sistem berkenaan, khususnya di kawasan luar bandar, pada sesi soal jawab lisan.

Pada sesi sama, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) meminta Perdana Menteri menyatakan status Pelan Kecekapan Pendakwaan Syariah Nasional (PKPSN) sebagai dasar rasmi negara.

Beliau turut bertanya mengenai kesediaan kerajaan untuk mewujudkan Akta Jabatan Pendakwaan Syariah Persekutuan bagi memperkukuh fungsi pendakwaan Islam serta memastikan kebebasannya setaraf Jabatan Peguam Negara.

Selain itu, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) meminta Perdana Menteri menyatakan perkembangan cadangan kerajaan untuk menggubal Akta Pendanaan Politik bagi menjamin ketelusan.

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) pula meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan peratusan siswazah yang bekerja dalam pekerjaan separa mahir dan di luar bidang pengajian dari 2021 hingga 2025, serta usaha strategik kerajaan bagi mengurangkan peratusan tersebut saban tahun.

Selepas sesi soal jawab lisan, Dewan Rakyat akan menyambung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang bermula minggu lalu susulan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 19 Januari.

Menurut takwim Dewan Rakyat, persidangan kali ini berlangsung selama 20 hari hingga 3 Mac.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619