Kes seleweng pelaburan: SPRM sita tanah, rumah, kereta mewah RM9.7 juta

25 Jan 2026, 7:30 AM
Kes seleweng pelaburan: SPRM sita tanah, rumah, kereta mewah RM9.7 juta

SHAH ALAM, 25 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita beberapa aset bernilai tinggi termasuk hartanah dan kenderaan mewah keseluruhannya bernilai RM9.7 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dalam siasatan penyelewengan pelaburan RM300 juta membabitkan seorang Tan Sri.

Antara aset yang disita ialah satu lot tanah bernilai RM1.8 juta, enam rumah bernilai RM6.54 juta dan dua kenderaan mewah bernilai RM1.35 juta, lapor Berita Harian.

Selain itu, SPRM juga menyita 14 akaun bank tetapi nilai keseluruhan masih dalam proses pengesahan pihak bank.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan turut menyatakan, seramai 10 saksi dipanggil untuk dirakam percakapan setakat ini.

"SPRM juga giat mengesan saksi lain bagi membantu melengkapkan siasatan.

"Kita akan terus komited untuk melengkapkan siasatan membabitkan kepentingan awam ini dengan segera," katanya, di sini hari ini.

Individu bergelar Tan Sri itu direman empat hari sehingga hari ini, selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Selain itu, seorang wanita bergelar Datuk juga dibebaskan dengan jaminan semalam selepas lima hari direman.

Siasatan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.Media sebelum ini melaporkan siasatan kes itu tertumpu kepada dakwaan penyelewengan hampir RM300 juta yang dikutip daripada kira-kira 1,700 pelabur bagi tempoh 2021 hingga 2024.

Dana itu yang sepatutnya digunakan untuk dua syarikat tertentu, didakwa dibelanjakan bagi tujuan tidak dinyatakan dalam perjanjian pelaburan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619