Pusat kumpul naskhah terpakai 'nyawa' kedua ulat buku

25 Jan 2026, 4:00 AM
Pusat kumpul naskhah terpakai 'nyawa' kedua ulat buku
Pusat kumpul naskhah terpakai 'nyawa' kedua ulat buku
Pusat kumpul naskhah terpakai 'nyawa' kedua ulat buku

Pada hujung minggu yang damai, sebuah bangunan sunyi di sebuah taman perumahan tiba-tiba ‘hidup’. Suasana bertukar ceria bila ada komuniti yang berkongsi persamaan yang hanya difahami sang pencinta buku.

Pengunjung hadir satu persatu, ada yang membawa beg penuh buku lama, ada yang meneliti helaian cerita di rak dan tidak ketinggalan sekadar berbual tentang buku kegemaran.

Namun ruang itu bukan perpustakaan, bukan juga kedai buku. Di situ, tiada harga tertera, malah tiada kaunter bayaran.

Hanya rak kayu yang menyimpan ribuan naskhah pelbagai genre, menunggu untuk dipilih, dipulang atau diberi ‘nyawa’.

Itulah Pusat Pertukaran Buku Setia Alam, terletak kurang 30 minit dari pusat bandar Shah Alam, pusat komuniti yang mana pengunjung boleh menghantar buku terpakai atau mengambil bahan bacaan percuma.

Konsepnya ringkas, tetapi kesannya melimpah. Peluang kedua kepada buku sekali gus membuka pintu pendidikan tanpa kos kepada sesiapa sahaja yang sudi membaca.

Penolong Pengarah Unit Perpustakaan dan Jaringan Kerjasama Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA Rafida Abdul Rahman (dua kanan) bersama kakitangan MBSA menyusun buku di Pusat pertukaran buku @ Setia Alam pada 5 Januari 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Menurut Penolong Pengarah Unit Perpustakaan dan Jaringan Kerjasama Jabatan Pembangunan Komuniti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Rafida Abdul Rahman, inisiatif itu bermula daripada suara komuniti sendiri.

“Ketika itu, wakil komuniti menjalankan aktiviti pertukaran buku secara kecil-kecilan, malah ada yang dibuat di hentian bas. Mereka kemudian mendekati MBSA untuk mencari tempat yang lebih sesuai dan konsisten,” katanya.

Beroperasi setiap Ahad minggu kedua dan keempat sejak 2016, pusat itu kekal satu-satunya pusat pertukaran buku percuma bawah MBSA.

“MBSA hanya menyediakan ruang dan sokongan operasi. Komuniti yang menggerakkan pusat ini sepenuhnya. Kalau komuniti tidak aktif, pusat ini tidak akan hidup,” ujarnya.

Rak-rak di pusat itu dipenuhi novel, komik, buku fiksyen, agama dan bacaan umum semuanya sumbangan masyarakat. Buku latihan tidak diterima, manakala buku baharu bukan keutamaan.

“Kebanyakan buku ini sebenarnya datang dari rumah penduduk sendiri. Contohnya buku bacaan anak-anak yang sudah membesar. Daripada disimpan atau dibuang, ia boleh dimanfaatkan oleh orang lain,” katanya lagi.

Pusat pertukaran buku @ Setia Alam pada 5 Januari 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGO

Setakat ini lebih 10,000 naskhah menghuni rak-rak tersebut. Hebahan dibuat melalui Facebook rasmi dan setiap kali pintu dibuka, sekitar 20 hingga 30 pengunjung hadir, bukan sahaja dari Setia Alam tetapi juga Klang, Kuala Lumpur dan Puchong.

Inisiatif ini tercetus hasil usaha dua sukarelawan terawal, Dr Nur Asyikin Mohd Yunus dan Agnes Yeoh.

“MBSA banyak membantu daripada segi penyediaan ruang, rak buku dan petugas operasi. Tanpa sokongan ini, agak sukar untuk projek komuniti seperti ini bertahan lama,” kata Dr Nur Asyikin.

Dr Nur Asyikin Mohd Yunus

Bagi Agnes pula, pusat itu sudah menjadi ruang sosial yang memupuk hubungan sesama masyarakat.

“Orang datang bukan hanya untuk ambil buku. Mereka berbual, berkongsi minat membaca dan bertukar pandangan. Dari situ, hubungan komuniti terjalin secara semula jadi,” jelasnya.

Agnes Yeoh

Pusat itu turut menjadi tumpuan ibu bapa kerana harga buku kanak-kanak di pasaran semakin meningkat. Namun di sini, setiap buku adalah hadiah.

Di sebalik kesederhanaannya, pusat pertukaran buku berkenaan membawa mesej yang amat besar. Ia berjaya menyokong pendidikan inklusif, menggalakkan amalan kitar semula dan membina komuniti yang saling mempercayai.

Kewujudan ruang kecil seperti itu mungkin kelihatan sederhana. Namun usaha pihak berkuasa tempatan dan komuniti membolehkan helaian lama menjadi ‘nyawa kedua’ bagi si ulat buku.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619