Pekerja kilang rugi RM166,000 diperdaya sindiket pelaburan dalam talian

19 Jan 2026, 2:00 PM
Pekerja kilang rugi RM166,000 diperdaya sindiket pelaburan dalam talian

KUALA BERANG, 19 JAN: Seorang pekerja kilang mengalami kerugian sebanyak RM166,000 selepas diperdaya sindiket skim pelaburan tidak wujud dalam talian.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Supt Sharudin Abdul Wahab berkata pada 15 Jan lepas, wanita yang berusia 43 tahun itu telah berkenalan dengan seorang lelaki di laman sosial Litmatch.

Beliau berkata suspek, iaitu kenalan baharunya telah memujuk mangsa supaya menyertai skim pelaburan UOA Group Building Excellence yang didakwa mampu memberi pulangan cepat dengan kadar keuntungan yang tinggi.

"Mangsa yang terpengaruh dengan janji manis suspek, bertindak menjual barang kemas, harta pusaka serta mengeluarkan wang simpanan untuk dijadikan sebagai modal pelaburan.

"Dia (mangsa) kemudian membuat sebanyak 16 transaksi berjumlah RM166,000 ke beberapa akaun bank berbeza seperti diarahkan suspek untuk tujuan pelaburan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharudin berkata mangsa bagaimanapun menyedari ditipu apabila suspek enggan memulangkan kembali modal pelaburan beserta keuntungan dijanjikan dengan pelbagai alasan.

Susulan itu, mangsa membuat laporan polis semalam selepas usaha menghubungi suspek gagal.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Justeru, pihak polis ingin mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi atau membuat semakan melalui portal Semakmule atau talian 997 NSRC (Pusat Respons Penipuan Kebangsaan) bagi mengelak ditipu," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619