Suami Nadia Kesuma berlepas ke Jeddah urus jenazah, pengebumian dijangka esok

18 Jan 2026, 10:00 AM
Suami Nadia Kesuma berlepas ke Jeddah urus jenazah, pengebumian dijangka esok

SHAH ALAM, 18 JAN: Suami kepada pelakon Allahyarhamah Nadia Kesuma, Profesor Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah bersama ahli keluarga berlepas ke Jeddah hari ini bagi menguruskan urusan jenazah.

Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata mereka akan ke King Fahad Hospital, Jeddah untuk menguruskan dokumentasi serta mengambil barangan peribadi Alahyarhamah.

"Jenazah Allahyarhamah dijangka dikebumikan pada pagi esok mengikut waktu tempatan di Jeddah, Arab Saudi, tertakluk kepada kelancaran urusan di sana," katanya menerusi Facebook.

Terdahulu beliau memaklumkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tengah hari tadi bagi menemani Muhammad Kamarul dan keluarga sebelum berangkat ke Jeddah.

Reezal Merican turut mengajak orang ramai mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan keampunan Allah SWT serta ditempatkan bersama golongan mukminin dan solihin.

Pelakon Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim sebelum ini dilaporkan hilang selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Rabu lalu ketika menyertai kumpulan umrah dan ziarah.

Kehilangannya mencetuskan tanda tanya sebelum disahkan bahawa Allahyarhamah telah meninggal dunia akibat sakit jantung pada Khamis lalu.

Pemergian Allahyarhamah disahkan oleh anak perempuannya menerusi hantaran di platform Threads.

Allahyarhamah merupakan antara 21 peserta yang menyertai program umrah dan ziarah bersama sebuah agensi pelancongan dari 14 hingga 28 Januari ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619