Pelakon Nadia Kesuma dikesan sudah keluar dari lapangan terbang di Jeddah - Mohamad

17 Jan 2026, 9:02 AM
Pelakon Nadia Kesuma dikesan sudah keluar dari lapangan terbang di Jeddah - Mohamad

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Wisma Putra mengesahkan pelakon Nadia Kesuma yang dilaporkan gagal dikesan semasa transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis lepas, didapati telah meninggalkan kawasan lapangan terbang berkenaan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pengesahan itu diterima daripada pihak Imigresen Arab Saudi oleh konsulat Malaysia di Jeddah.

“Kini selepas 20 jam beliau gagal dikesan, (kes beliau) sudah boleh diklasifikasikan sebagai orang hilang dan saya dah arahkan pejabat konsulat Malaysia untuk buat yang terbaik membantu usaha pencarian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Perhimpunan Agung UMNO 2025 di sini hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kehilangan pelakon filem “Syaitan Munafik” itu yang gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur sedang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, pada Khamis.

Beliau berkata konsulat Malaysia mempunyai kerjasama baik dengan pihak polis Arab Saudi bagi memastikan usaha pencarian berjalan lancar.

“Kita mesti percaya akan kecekapan mereka (polis Arab Saudi) dan kita minta supaya pihak keluarga bertenang dan kita akan terus berusaha sebaik mungkin untuk mencari beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan pihak agensi pelancongan yang membawa Nadia juga perlu bertanggungjawab untuk menguruskan kes kehilangan pelakon berkenaan.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman sebelum ini memaklumkan kepada Bernama bahawa laporan mengenai kehilangan pelakon itu telah dibuat dan pihaknya menunggu hasil siasatan polis Arab Saudi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619