Sultan Perak tegur umat Islam terjebak kebendaan, tekankan integriti pemimpin Islam

13 Jan 2026, 6:03 AM
Sultan Perak tegur umat Islam terjebak kebendaan, tekankan integriti pemimpin Islam

SHAH ALAM, 13 JAN: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap sebahagian umat Islam yang disifatkan seolah-olah hilang arah hidup, terpengaruh dengan kebendaan, mengejar jawatan dan mabuk kuasa.

Baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) bertitah, sikap tamak terhadap jawatan dan kuasa telah melahirkan budaya sogokan untuk mendapatkan sokongan serta fitnah bagi menjatuhkan pihak lain, sehingga menghidupkan kembali sikap jahiliah yang memesongkan ketaatan manusia daripada perintah Ilahi.

“Kekayaan material seolah-olah menjadi pegangan sebahagian umat Islam sehingga mendorong persaingan tidak sihat, perbuatan bercanggah dengan etika, menghakis nilai kemanusiaan serta mengorbankan integriti demi mengejar kebendaan.

“Jawatan dan kuasa adalah ujian keimanan dan ketakwaan. Jika tidak disertai iman dan takwa, ia boleh menjejaskan akidah serta mengalih ketaatan daripada perintah ALLAH SWT kepada arahan manusia,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda menegaskan individu yang dipilih memimpin dan mengurus institusi Islam mesti mempunyai integriti tinggi, bersikap proaktif, membawa idea baharu, melaksanakan gerak kerja berkesan serta berani meneroka pendekatan baharu.

Dalam masa sama, baginda menitahkan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan supaya memberi perhatian serius serta melaksanakan setiap keputusan dan ketetapan yang dipersetujui agar MKI tidak dilihat sekadar platform perbincangan semata-mata.

“Sepanjang dua tahun saya mempengerusikan MKI, pelbagai perkara telah dibincang dan dipersetujui, serta dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.

“Yang penting selepas ini ialah tindakan susulan supaya segala saranan tidak kekal sebagai dokumen bertulis yang terbiar,” titah baginda ketika Mesyuarat MKI ke-74, hari ini.

Baginda menegaskan setiap ketetapan yang dibuat perlu dihargai dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh supaya memberi manfaat kepada rakyat.

Terdahulu, mesyuarat itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan timbalannya Marhamah Rosli, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619