Bapa dibenar merayu kembalikan saman kecuaian kematian anak pada 2010

8 Jan 2026, 3:01 PM
Bapa dibenar merayu kembalikan saman kecuaian kematian anak pada 2010

PUTRAJAYA, 8 JAN: Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan seorang bapa merayu pembatalan saman ke atas enam defendan atas kecuaian berkaitan kematian anak lelakinya yang juga seorang doktor perubatan pada November 2010.

Panel tiga hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Azimah Omar membenarkan permohonan rayuan oleh Joseph Anthony, 75.

Mahkamah membenarkan rayuan itu atas satu persoalan undang-undang untuk dihujahkan iaitu sama ada pegawai perubatan kerajaan yang melakukan bedah siasat mengikut Seksyen 331 Kanun Tatacara Jenayah mempunyai kewajipan kepada negara; atau kepada individu persendirian seperti ibu bapa dan/atau waris si mati atau kedua-duanya

Pada 2018, Joseph, atas kapasitinya sebagai pentadbir harta pusaka anaknya Sebastian, memfailkan saman terhadap Dr Muhamad Arif Mohamad Rasat, Pengarah Hospital Langkawi, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Pegawai Penyiasat Sarjan Amran Ahamad Sirat, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

Dalam saman itu, dia mendakwa Dr Muhamad Arif telah melanggar kewajipan penjagaan kerana cuai ketika menjalan autopsi terhadap mayat Sebastian.

Sebastian, 30, yang merupakan seorang doktor yang berkhidmat di Klinik Kesihatan Kuah, Langkawi, Kedah, ditemukan meninggal dunia di kuarters kerajaan pada 17 Nov, 2010.

Bedah siasat dijalankan oleh Dr Muhammad Arif sebelum pengebumian Sebastian dan laporan autopsi menyatakan punca kematian sebagai unascertained atau tidak pasti.

Tidak berpuas hati dengan penemuan laporan bedah siasat pertama itu, Joseph mendapatkan perintah daripada Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 2015 untuk menggali mayat anaknya bagi bedah siasat kedua.

Pemeriksaan lanjut itu dilakukan oleh seorang pakar patologi forensik tempatan dan seorang pakar patologi luar negara.

Joseph mendakwa kedua-dua pakar berkenaan memutuskan dalam laporan masing-masing bahawa bedah siasat pertama telah dijalankan secara cuai dan tidak cekap justeru dia menuntut ganti rugi am dan khas serta ganti rugi teladan dan teruk.

Defendan berhujah bahawa mereka tiada kewajipan penjagaan terhadap si mati kerana dia bukan pesakit sebaliknya telah meninggal dunia pada masa bedah siasat. Mereka juga menafikan sebarang kecuaian.

Pada 22 Jun 2023, Pesuruhjaya Kehakiman ketika itu Leong Wai Hong, kini Hakim Mahkamah Tinggi, menolak saman tersebut, memutuskan bahawa Dr Muhamad Arif diberi kuasa secara sah untuk menjalankan bedah siasat.

Mahkamah Rayuan menolak rayuan Joseph pada 26 Ogos tahun lepas.

Di Mahkamah Persekutuan hari ini, peguam M.Visvanathan, K. Selva Kumaran, V. Sanjay Nathan dan Pushan Qin Nathan mewakili Joseph manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi, Zetty Zurina Kamaruddin dan Shazreen Nadia Zulkipli mewakili kerajaan.

-- BERNAMA

TAG: saman kecuaian, Mahkamah Persekutuan, bedah siasat, doktor perubatan

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619