Penggantungan tamat, Noor Azman kembali galas tugas Setiausaha Agung FAM

8 Jan 2026, 9:32 AM
Penggantungan tamat, Noor Azman kembali galas tugas Setiausaha Agung FAM

SHAH ALAM, 8 JAN: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman kembali menjalankan tugasnya berkuat kuasa serta-merta selepas didapati tidak bersalah dalam isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan negara.

FAM mengesahkan keputusan itu dibuat susulan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang diadakan semalam, yang memutuskan bahawa tempoh penggantungan Noor Azman telah berakhir.

Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan Datuk Dr Baljit Singh Sidhu bermesyuarat selepas mengambil kira tempoh penggantungan yang telah dikenakan ke atas Noor Azman serta laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) bertarikh 15 Disember 2025.

“Jawatankuasa memutuskan untuk mengembalikan Noor Azman kepada tugasnya sebagai Setiausaha Agung FAM berkuat kuasa serta-merta.

“Dengan keputusan terbaharu ini, ia menunjukkan Noor Azman hanya terkait dalam kecuaian pentadbiran dan tidak bersalah atau terlibat dalam hal pemalsuan dokumen,” menurut kenyataan FAM, hari ini.

Noor Azman sebelum ini digantung tugas bermula 17 Oktober 2025 bagi memberi laluan kepada siasatan bebas berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dibangkitkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pada 22 Disember 2025, Jawatankuasa Eksekutif FAM membincangkan laporan IIC dan memutuskan supaya penggantungan tersebut diteruskan sementara kes berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut.

Isu itu tercetus susulan hukuman yang dikenakan FIFA terhadap FAM akibat kesilapan teknikal di peringkat pentadbiran berkaitan dokumentasi pemain warisan.

Susulan itu, satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi menyiasat perkara berkenaan dan memastikan ketelusan dan integriti tadbir urus bola sepak negara terus terpelihara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619