Penjawat awam KL, Putrajaya, Labuan dapat cuti gantian 2 Februari

8 Jan 2026, 8:56 AM
Penjawat awam KL, Putrajaya, Labuan dapat cuti gantian 2 Februari

PUTRAJAYA, 8 JAN: Penjawat awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan menikmati satu hari cuti gantian pada Isnin, 2 Februari, susulan pertindihan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Thaipusam pada Ahad, 1 Februari ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan penetapan itu selaras dengan Seksyen 3, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) yang memperuntukkan sekiranya mana-mana hari kelepasan am jatuh pada hari kelepasan mingguan, maka hari berikutnya hendaklah menjadi hari kelepasan am.

“Walaupun Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Thaipusam jatuh pada tarikh yang sama, pegawai perkhidmatan awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hanya akan menikmati tundaan hari kelepasan am pada hari berikutnya iaitu 2 Februari (Isnin).

“Bagi pegawai perkhidmatan awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Labuan pula, tundaan hari kelepasan am bagi Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh pada 1 Februari (Ahad) juga pada 2 Februari,” menurut kenyataan itu.

JPA memberitahu penetapan cuti gantian akibat pertindihan tersebut seperti yang dinyatakan dalam siaran media mengenai cuti umum sempena perayaan Thaipusam dan Hari Wilayah bagi pekerja swasta pada 1 Februari 2026, yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) pada 31 Disember lalu adalah tidak terpakai kepada penjawat awam.

Dalam kenyataan berkenaan, JTKSM memaklumkan cuti Hari Wilayah Persekutuan merupakan cuti wajib yang perlu diberikan oleh majikan sektor swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta tidak boleh diganti selaras dengan peruntukan seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 (Akta 265).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619