Program makanan berkhasiat percuma Indonesia genap setahun, 55 juta penerima

7 Jan 2026, 10:25 AM
Program makanan berkhasiat percuma Indonesia genap setahun, 55 juta penerima

JAKARTA, 7 JAN: Indonesia menandakan ulang tahun pertama pelaksanaan program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) yang setakat ini telah memberi manfaat kepada 55 juta kanak-kanak dan wanita hamil di seluruh negara.

Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkata program yang dilancarkan pada 6 Jan 2025 itu telah mencapai kadar kejayaan sebanyak 99.99 peratus.

Bagaimanapun, beliau menegaskan masih belum berpuas hati dengan pencapaian berkenaan dan menekankan bahawa kerajaan perlu berusaha mencapai sifar kesilapan.

“Adakah terdapat kekurangan? Ya. Dalam usaha berskala sebesar ini, pasti ada kekurangan.

“Kami menyasarkan sifar kecacatan. Itulah yang mesti kita capai. Kami tidak berpuas hati. Walaupun kekurangan hanya sifar perpuluhan sesuatu, itu tetap perlu ditangani. Dan alhamdulillah, kami telah menanganinya dan akan terus berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Taklimat Awal Tahun 2026 yang diadakan bersempena Retret Kabinet di Hambalang, Bogor pada Selasa, yang dikongsi menerusi siaran media oleh Pejabat Komunikasi Presiden pada Rabu.

Prabowo turut menegaskan bahawa program MBG akan terus dipantau rapi, dengan kerajaan mengambil pelbagai langkah pencegahan bagi memastikan kejayaannya.

“Seorang pemimpin yang bertanggungjawab, pemimpin yang berperikemanusiaan dan prihatin, mesti bekerja keras untuk menghapuskan kelaparan dan kemiskinan,” katanya.

Presiden itu berkata walaupun berdepan pelbagai kritikan, program berkenaan telah terbukti berjaya dan dinanti-nantikan oleh rakyat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619