Kutipan wakaf Selangor cecah RM80.04 juta pada 2025

7 Jan 2026, 9:51 AM
Kutipan wakaf Selangor cecah RM80.04 juta pada 2025

SHAH ALAM, 7 JAN: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) merekodkan kutipan wakaf berjumlah RM80.041 juta sepanjang tahun 2025.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu dimaklumkan Pengerusi PWS yang baharu, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, dalam kunjungan hormat yang diadakan hari ini.

Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan kutipan tersebut, wakaf tunai menyumbang RM13.437 juta dengan kutipan tertinggi diperoleh menerusi skim potongan gaji, selain sumbangan orang ramai dan pewakafan tanah.

Amirudin berkata, pertemuan itu turut membincangkan perkembangan beberapa projek wakaf yang sedang dilaksanakan, termasuk pembangunan stesen minyak sebagai usaha menjana manfaat berterusan kepada masyarakat.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amiruddin Shari bersama Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir di Pejabat Dato' Menteri Besar Selangor pada 7 Januari 2026. Foto Facebook Amirudin Shari

"Kami turut meneliti perkembangan beberapa projek wakaf yang sedang dilaksanakan, termasuk pembangunan stesen minyak sebagai usaha menjana manfaat berterusan untuk masyarakat," katanya di Facebook.

Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai perbezaan antara wakaf dan zakat.

Beliau juga mencadangkan pelaksanaan inisiatif wakaf berasaskan komuniti seperti pembinaan pusat dialisis bagi memastikan manfaat wakaf dapat dinikmati secara lebih meluas.

"Semoga segala ikhtiar ini terus memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat," katanya lagi.

Tan Sri Syed Zainal Abidin dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619