SWCorp laksana penyamaran buru pesalah buang sampah kawasan awam

6 Jan 2026, 4:53 AM
SWCorp laksana penyamaran buru pesalah buang sampah kawasan awam

SHAH ALAM, 6 JAN: Anggota penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan melaksanakan penyamaran bagi membanteras kes pembuangan sampah di tempat awam.

Pengerusinya, Hee Loy Sian berkata langkah itu bertujuan memastikan individu yang melakukan kesalahan dikenakan tindakan tegas di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan bermasalah.

Loy Sian memberitahu Utusan Malaysia, operasi penguatkuasaan akan melibatkan rondaan fizikal serta pemantauan kamera litar tertutup (CCTV), dengan semua pesalah terus dikenakan Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK).

“Tindakan penguatkuasaan ini akan melibatkan penguat kuasa yang lengkap memakai pakaian seragam ataupun anggota yang menyamar sebagai orang awam.

“Pelbagai medium pemantauan akan dilaksanakan sama ada secara fizikal di lapangan, pemantauan menggunakan CCTV, aduan orang awam serta rondaan di lapangan.

“Selain itu, SWCorp juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan bersepadu di lapangan,” katanya.

Dalam pada itu, Loy Sian memberi jaminan pelaksanaan penguatkuasaan akan dijalankan secara telus dan adil, selain memastikan tindakan yang diambil tidak bersifat selektif.

“Anggota penguat kuasa telah diberikan pendedahan dan latihan yang secukupnya bagi memastikan semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan adil dan berhemah,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, termasuk warga asing dan kanak-kanak yang didapati membuang sampah di kawasan awam.

Sehubungan itu, kerajaan memperkenalkan perintah khidmat masyarakat yang berkuat kuasa bermula tahun ini bagi membuktikan tiada mana-mana pihak kebal daripada undang-undang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619