Malaysia tolak campur tangan asing dalam urusan negara, pantau situasi di Venezuela

4 Jan 2026, 12:39 AM
Malaysia tolak campur tangan asing dalam urusan negara, pantau situasi di Venezuela
Malaysia tolak campur tangan asing dalam urusan negara, pantau situasi di Venezuela

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Malaysia menolak sebarang bentuk campur tangan asing dalam urusan dalaman sesebuah negara, termasuk ancaman atau penggunaan kekerasan, menurut Kementerian Luar Malaysia.

Kementerian itu menyatakan pendirian berkenaan dalam kemas kini mengenai situasi di Caracas, Venezuela, sambil memaklumkan bahawa ia memantau dengan teliti perkembangan terkini susulan laporan mengenai operasi keselamatan yang dijalankan di ibu negara itu semalam.

“Ini merupakan prinsip asas yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan kementerian yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra hari ini.

Wisma Putra berkata Malaysia secara konsisten menegakkan kepentingan penyelesaian pertikaian secara aman melalui dialog, penghormatan terhadap kedaulatan negara, serta pematuhan kepada norma antarabangsa.

“Pada saat genting ini, adalah penting bagi pihak yang terlibat untuk mengamalkan sikap menahan diri sepenuhnya, dan mencari penyelesaian secara aman melalui dialog dan diplomasi,” menurut kenyataan itu.

Selaras dengan perkembangan tersebut, Wisma Putra berkata keutamaan kementerian kekal tertumpu kepada keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia di luar negara.

Menurutnya, Kedutaan Besar Malaysia di Caracas telah menghubungi rakyat Malaysia yang berdaftar di negara itu, dan mengesahkan bahawa mereka berada dalam keadaan selamat dan sudah dikenal pasti.

“Kedutaan sedang memantau rapi keadaan di lapangan dan bersiap sedia untuk memberikan bantuan konsular yang diperlukan sekiranya situasi memerlukan,” tambah kenyataan itu.

Rakyat Malaysia di Venezuela yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Caracas melalui telefon di 58-212-720 4257 atau e-mel ke mwcaracas@kln.gov.my.

Kementerian itu berkata ia akan terus memantau perkembangan itu secara aktif dan mengeluarkan maklumat lanjut sekiranya perlu.

“Rakyat Malaysia di Venezuela dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan sentiasa berhubung rapat dengan kedutaan,” menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619