Tan Sri Syed Zainal Abidin dilantik Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor

2 Jan 2026, 12:07 PM
Tan Sri Syed Zainal Abidin dilantik Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor

SHAH ALAM, 2 JAN: Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) berkuatkuasa 1 Januari 2026.

PWS menerusi kenyataan memaklumkan pelantikan itu selaras perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Tan Sri Syed Zainal Abidin merupakan tokoh korporat berpengalaman luas dalam bidang pembangunan dan tadbir urus korporat.

“Beliau juga memegang pelbagai jawatan penting dalam agensi korporat serta organisasi yang menjurus kepada pembangunan ummah antaranya Pengerusi Dagang NeXchange Berhad (DNEX), Pengerusi Silterra Malaysia Sdn Bhd serta Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan PWS untuk memperkukuh tadbir urus institusi wakaf di Selangor di samping memperkasa peranan wakaf sebagai instrumen strategik, mampan dan berkesan dalam pembangunan sosioekonomi ummah,” katanya.

Tambah agensi itu, Syed Zainal Abidin yang juga Pengerusi PWS yang ketiga sejak PWS ditubuhkan pada 2011, pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Eksekutif di PERODUA Auto Corporation Sdn Bhd dan Pengarah Urusan Kumpulan, Proton Holdings Berhad.

Beliau turut berpengalaman dalam industri minyak dan gas ketika menerajui Petroliam Nasional Berhad sebagai Pengarah Urusan di Petronas Dagangan.

“PWS yakin dan percaya pengalaman dan kepimpinan beliau diyakini mampu memacu agenda wakaf di Selangor ke arah fasa yang lebih progresif dan berimpak tinggi.

“Hubungan baik beliau bersama syarikat korporat memberi nilai tambah bagi menjalin hubungan sinergi dua hala dalam memastikan institusi wakaf di Selangor terus diperkasa melalui kerjasama yang bakal dijalinkan kelak,” katanya.

PWS turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Dato’ Ibrahim Md Yusoff Pengerusi PWS sebelum ini yang telah menyumbang peranan serta idea dalam memperkasa agensi itu.

“PWS menyeru semua masyarakat khususnya di Selangor untuk bersama melazimi ibadah wakaf yang merupakan satu amalan dituntut dan menjamin ganjaran pahala yang berterusan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619