Mahkamah: Anggota polis dituduh rogol remaja perempuan bawah umur

30 Dis 2025, 9:13 AM
Mahkamah: Anggota polis dituduh rogol remaja perempuan bawah umur

SHAH ALAM, 30 DIS: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini atas tujuh pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur pada tahun lalu dan tahun ini.

Muhammad Farhan Abdul Karim, 34, minta dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor, lapor Berita Harian.

Mengikut semua pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol remaja perempuan itu yang kini berusia 15 tahun di beberapa lokasi di sini pada November 2024 serta antara Jun, Julai, September dan Oktober lalu.

Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan terbabit di dalam sebuah kenderaan Proton Waja milik pasukan Polis Diraja Malaysia berhadapan Bengkel Reka Bentuk Teknologi & Teknologi 1 sebuah sekolah menengah, di sini.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama di tandas perempuan dan tandas lelaki sekolah yang sama, serta di sebuah hotel dan rumah di Taman Hijrah di sini.

Muhammad Farhan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan jika didapati bersalah.

Ana Rozana kemudiannya membenarkan Muhammad Farhan diikat jamin berjumlah RM42,000 bagi kesemua pertuduhan itu, berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 20 Januari 2026 untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natasha Azmi, manakala Muhammad Farhan diwakili Peguam Hasnor Arysha Hamdan dan Nurul Hanani Che Nor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619