Guru didakwa miliki gambar, video pornografi kanak-kanak

30 Dis 2025, 6:26 AM
Guru didakwa miliki gambar, video pornografi kanak-kanak

SHAH ALAM, 30 DIS: Seorang guru sebuah sekolah menengah di Batu Pahat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar hari ini, atas tiga tuduhan memiliki gambar dan dan video pornografi kanak-kanak.

Mohamad Amir Mohtaram, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron, lapor Harian Metro

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada enam anak itu didakwa meminta suatu bahan penganiayaan seksual iaitu video pornografi kanak-kanak.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan penjara 15 tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali.

Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 10 akta sama, tertuduh didakwa memiliki tiga video klip pornografi kanak-kanak dalam telefon bimbitnya.

Seksyen 10 pula memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Untuk pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki sembilan kandungan video dan 31 gambar lucah yang disimpan dalam telefon bimbit miliknya dan dituduh mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Batu Pahat pada jam 6.40 petang, 19 Jun lalu.

Berdasarkan laporan dibuat, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan tertuduh menyertai satu kumpulan menyediakan bahan lucah kanak-kanak sebelum memaklumkan perkara itu kepada polis.

Bertindak atas maklumat diberikan, polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melakukan serbuan di sebuah rumah di Batu Pahat dan menahan tertuduh.

Turut dirampas telefon bimbit tertuduh yang didakwa menyimpan bahan pornografi kanak-kanak untuk siasatan lanjut.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamad Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Salihen Mastor.

Terdahulu pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan serta mengenakan syarat tambahan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan selain memerintahkannya melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Kes disebut semula 2 Mac depan untuk serahan dokumen.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619