Notis kekosongan tiga kerusi DUN Perlis diserah kepada SPR - speaker

29 Dis 2025, 6:25 AM
Notis kekosongan tiga kerusi DUN Perlis diserah kepada SPR - speaker

KANGAR, 29 DIS: Notis pemakluman rasmi kekosongan luar jangka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuping, Bintong dan Guar Sanji diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Speaker DUN Perlis Rus’sele Eizan berkata notis berkenaan diserahkan di Pejabat SPR Perlis di sini kira-kira 12 tengah hari.

Beliau berkata dalam notis itu, pihaknya turut memaklumkan SPR mengenai alasan keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di ketiga-tiga DUN berkenaan untuk pertimbangan suruhanjaya tersebut.

“Saya menyerahkan semuanya kepada pertimbangan pihak SPR,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada sidang media 25 Dis lepas, Rus’sele mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka tiga kerusi DUN itu susulan keahlian ADUN Chuping Saad Seman, ADUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim dalam PAS terhenti serta-merta, selaras Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

Rus’sele berkata walaupun usia DUN Perlis telah genap tiga tahun pada 18 Dis lalu, kerajaan negeri berpandangan terdapat keperluan mengadakan PRK bagi mengisi kekosongan ketiga-tiga kerusi itu demi kestabilan kerajaan negeri.

Pada 24 Dis lalu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi kenyataan media memaklumkan keahlian tiga ADUN itu terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Perikatan Nasional (PN) memenangi 14 kerusi DUN di Perlis, terdiri daripada sembilan kerusi PAS dan lima Bersatu, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi satu kerusi menerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN Indera Kayangan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619