Salah faham di jalan raya, pemandu e-hailing dipukul dengan pengunci stereng

28 Dis 2025, 3:07 AM
Salah faham di jalan raya, pemandu e-hailing dipukul dengan pengunci stereng

SHAH ALAM, 28 DIS: Seorang lelaki cedera di muka selepas dipukul menggunakan alat pengunci stereng dalam kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham ketika memandu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, berhampiran simpang keluar sebuah stesen minyak, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata kejadian dipercayai berlaku pada jam 2.21 petang.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing berhubung kejadian berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar dari stesen minyak secara melulu sehingga menyebabkan suspek yang memandu di laluan sama terpaksa membrek secara mengejut.

“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian keluar dari kenderaannya sebelum bertindak memukul muka mangsa menggunakan alat pengunci stereng,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka sebelah kiri dan mendapatkan rawatan lanjut.

Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun bagi membantu siasatan serta merampas alat pengunci stereng yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek yang juga penganggur mendapati keputusan negatif dadah dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata, manakala permohonan reman terhadap suspek dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi tujuh saat yang memaparkan seorang individu mengambil alat pengunci kereta dari bonet sebelum memukul kenderaan yang dipercayai milik mangsa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619