Panglima tentera darat cuti serta-merta hingga siasatan selesai

27 Dis 2025, 6:08 AM
Panglima tentera darat cuti serta-merta hingga siasatan selesai

SHAH ALAM, 27 DIS: Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan membabitkannya selesai, kata menteri pertahanan.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataan hari ini menjelaskan langkah pentadbiran itu diambil bagi memastikan proses siasatan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan.

"Bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang dilaporkan, beliau (Muhammad Hafizuddeain) akan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan.

"Langkah pentadbiran ini diambil bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap beberapa projek melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) sejak 2023.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan satu kertas siasatan berhubung kes itu dibuka bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Dalam pada itu, Khaled turut memaklumkan Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain akan memangku tugas sebagai panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, pelantikan itu selaras persaraan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar yang mencapai umur persaraan wajib.

"Kementerian Pertahanan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat, kepimpinan dan jasa Mohd Nizam sepanjang menerajui ATM, serta mendoakan kelancaran urusan persaraan beliau," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619