MBSA: Hanya hotel berlesen boleh kutip fi kelestarian

26 Dis 2025, 2:00 PM
MBSA: Hanya hotel berlesen boleh kutip fi kelestarian

SHAH ALAM, 26 DIS: Hanya premis penginapan yang berlesen dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dibenarkan mengenakan caj fi kelestarian di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), tegas Pemangku Pengarah Pelesenan MBSA, Mohd Rizal Johari.

Menurut beliau, semua hotel termasuk hotel bajet akan diberikan Sijil Perakuan Kutipan bagi membolehkan kutipan dilakukan secara sah di kaunter semasa daftar masuk.

“Premis tanpa lesen PBT tidak dibenarkan membuat sebarang kutipan kepada pengunjung. Caj ini juga hanya dikenakan kepada tetamu yang menginap, bukan kepada pengusaha hotel,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menjelaskan, fi kelestarian ini diperkenalkan sebagai inisiatif Kerajaan Negeri ke arah membangunkan sektor pelancongan yang lebih mampan dan berdaya saing.

Jelas Mohd Rizal, MBSA melalui Jabatan Pelesenan telah mengadakan sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri dan semua pengusaha hotel pada 5 Disember lalu, termasuk taklimat daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengenai sistem penggredan hotel.

“Saya yakin kutipan fi ini akan membantu MBSA meningkatkan promosi pelancongan serta menambah baik infrastruktur dan kemudahan, seterusnya menarik lebih ramai pelancong ke Shah Alam,” ujarnya.

Terdahulu, EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim memaklumkan bahawa kutipan fi kelestarian akan dikendalikan oleh PBT, manakala pihak hotel hanya bertindak sebagai pemungut.

Fi dikenakan berdasarkan jenis dan taraf penginapan seperti berikut:

RM7 – Hotel lima bintang

RM5 – Hotel empat bintang

RM3 – Hotel tiga bintang

RM2 – Rumah inap, AirBNB, hotel bajet, asrama pelancongan

RM5 – Hotel tanpa penggredan

RM3 – Tapak perkhemahan dan campervan

RM3 – Premis berdaftar di bawah program MOTAC

Fi ini dikenakan bagi setiap bilik untuk satu malam penginapan.

“Selain memelihara alam sekitar dan warisan tempatan, caj ini juga penting untuk memastikan pembangunan pelancongan terus mampan di Selangor,” tambahnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619