Polis siasat pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya

25 Dis 2025, 9:09 AM
Polis siasat pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya
Polis siasat pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan Harimau Malaya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan kesalahan pemalsuan bagi tujuan penipuan.

“Setakat ini, dua rakaman percakapan telah diambil bagi membantu siasatan kes itu,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Kes itu disiasat susulan laporan polis yang dibuat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya semalam, berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi semalam memaklumkan tindakan itu diambil selaras dengan saranan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan laporan siasatan mereka baru-baru ini.

Sebelum ini, IIC dalam laporan penuh siasatan, mengemukakan tiga cadangan kepada FAM susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Antaranya, IIC mencadangkan FAM segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan untuk mengesahkan asal usul dokumen yang disyaki palsu, serta mengenal pasti pihak bertanggungjawab.

Kedua, supaya Jawatankuasa Tatatertib FAM memulakan prosiding tatatertib dalaman terhadap Setiausaha Agung badan induk itu mengikut keperluan proses sewajarnya.

Cadangan ketiga IIC pula menyentuh aspek tadbir urus, dengan FAM disaran melaksanakan pemantauan, reformasi struktur serta langkah pencegahan bagi memulihkan kredibiliti.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619