Liga Super: Selangor FC tundukkan PDRM FC 3-1

23 Dis 2025, 3:36 PM
Liga Super: Selangor FC tundukkan PDRM FC 3-1
Liga Super: Selangor FC tundukkan PDRM FC 3-1
Liga Super: Selangor FC tundukkan PDRM FC 3-1

SHAH ALAM, 23 DIS: Selangor FC meneruskan momentum positif Liga Super selepas mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Keputusan itu membolehkan skuad kendalian Christophe Gamel mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan berturut-turut, sekali gus mengumpul 22 mata dan hanya ketinggalan dua mata di belakang Kuching City FC dan Kuala Lumpur City FC di tangga keempat liga.

Sebaliknya, PDRM terus bergelut apabila merekodkan kekalahan ketujuh berturut-turut dan kekal menghuni dasar liga dengan enam mata.

Memetik laporan BH Online, Selangor yang beraksi sebagai pelawat tampil lebih dominan sebelum membuka jaringan pada minit ke-20 menerusi tandukan kemas Chrigor Moraes hasil hantaran lintang Faisal Halim dari sayap kiri.

Selangor hampir menggandakan kelebihan sembilan minit kemudian namun percubaan Alvin Fortes sekadar menggegarkan tiang, manakala usaha solo Faisal pada minit ke-37 berakhir dengan rembatan tinggi melepasi palang.

PDRM memiliki peluang terbaik menyamakan kedudukan di penghujung babak pertama menerusi serangan balas pantas, namun percubaan Imran Samso berjaya ditepis penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Memasuki separuh masa kedua, Moraes sekali lagi mencuri tumpuan apabila menanduk masuk gol kedua peribadinya pada minit ke-49 selepas memenangi perebutan bola di udara hasil hantaran Fortes.

Bagaimanapun, tuan rumah tidak mengalah apabila merapatkan jurang tiga minit kemudian menerusi rembatan kencang Fakhrul Azim Zulphatah dari luar kotak penalti.

Selangor kembali mengukuhkan kelebihan pada minit ke-66 apabila Noor Al-Rawabdeh menyempurnakan jaringan ketiga, sekali gus memadamkan kebangkitan PDRM.

Kedudukan 3-1 kekal hingga wisel penamat, menyaksikan Selangor meraih kemenangan ketujuh musim ini.

Selepas ini, PDRM dijadualkan bertandang menentang DPMM FC manakala Selangor FC bakal melayan kunjungan Melaka FC di laman sendiri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619