MBSA turun padang tangani aduan kebersihan di Seksyen 19, 20 Shah Alam

21 Dis 2025, 8:23 AM
MBSA turun padang tangani aduan kebersihan di Seksyen 19, 20 Shah Alam

SHAH ALAM, 21 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjalankan lawatan turun padang bersepadu di Seksyen 19 dan Seksyen 20 di sini semalam bagi menilai aduan penduduk berkaitan kebersihan, keselamatan dan penyelenggaraan infrastruktur.

MBSA dalam kenyataan berkata, lawatan itu diketuai Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Safriah Md Adzhar bersama Ahli Majlis MBSA merangkap Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 7, Hamdan Harun.

"Lawatan turun padang meninjau dan menilai aduan penduduk yang diterima berkenaan isu seperti kebersihan kawasan yang melibatkan tapak penjaja, penyelenggaraan longkang, keselamatan serta penyelenggaraan infrastruktur seperti parit monsun, taman dan jalan," katanya di Facebook.

Turut serta dalam lawatan berkenaan ialah pegawai kanan daripada Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Landskap, Jabatan Kebersihan Awam dan Kelestarian Sisa, Jabatan Pelesenan, Jabatan Bangunan serta Jabatan Penguatkuasaan MBSA.

MBSA memaklumkan lawatan bersepadu ini membolehkan tindakan segera dan susulan dikenal pasti, termasuk kerja pembersihan, penyelenggaraan infrastruktur dan pemantauan keselamatan awam.

"MBSA akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya berdasarkan hasil lawatan ini bagi memastikan tahap kebersihan, keselamatan dan keselesaan penduduk setempat terus terpelihara," katanya.

Menurut MBSA, pendekatan bersepadu antara jabatan akan terus diperkukuh bagi memastikan kebersihan, keselamatan dan keselesaan penduduk sentiasa terpelihara selaras dengan komitmen pihak berkuasa tempatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619