Kod QR percepat pelepasan di KLIA dalam tempoh lima hingga tujuh saat

19 Dis 2025, 8:35 AM
Kod QR percepat pelepasan di KLIA dalam tempoh lima hingga tujuh saat
Kod QR percepat pelepasan di KLIA dalam tempoh lima hingga tujuh saat
Kod QR percepat pelepasan di KLIA dalam tempoh lima hingga tujuh saat
Kod QR percepat pelepasan di KLIA dalam tempoh lima hingga tujuh saat
Kod QR percepat pelepasan di KLIA dalam tempoh lima hingga tujuh saat

SEPANG, 19 DIS: Penggunaan kod respons pantas (QR) bagi proses pelepasan dan ketibaan di pintu masuk negara yang diperkenalkan awal tahun ini berjaya mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kecekapan operasi, dengan penumpang melalui pelepasan dalam tempoh lima hingga tujuh saat.

Pengenalan teknologi itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 di sini terbukti mengurangkan isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.

Tinjauan mendapati penumpang yang menggunakan teknologi QR menerusi aplikasi MyBorderPass tidak perlu beratur panjang sebaliknya menikmati aliran pergerakan yang lebih lancar dan tersusun berbanding kaedah manual atau pagar automatik konvensional.

Warga emas, Tan Choo Lan, 72, berkata penggunaan QR untuk pelepasan di imigresen sememangnya menjimatkan masa dan penumpang tidak perlu beratur panjang untuk ke balai pelepasan.

“Saya memang selalu gunakan kod QR kerana tidak perlu pegang pasport, boleh simpan dalam beg sahaja dan ia lebih selamat,” katanya.

Juruterbang Alif Rahim, 40, berkata penggunaan kod QR membantu mempercepat proses pelepasan terutama pada waktu puncak dan memudahkan kelancaran bagi kru penerbangan.

“Penggunaan kod QR juga memudahkan pelancong dan saya memang gunakan aplikasi ini kerana ia sangat efisien,” katanya.

Bagi Mohd Safri Azman, pengunaan kod QR memberikan pengalaman berbeza kerana pengguna tidak lagi beratur panjang bagi proses pelepasan imigresen.

“Ia memang sangat memudahkan, cepat dan tidak sesak,” katanya yang hendak bercuti ke Vietnam bersama keluarganya.

Kerajaan memperkenalkan inisiatif pengunaan kod QR bagi pelepasan di KLIA Terminal 1 dan 2 sejak awal tahun ini dalam usaha mengurangkan kesulitan rakyat, termasuk menangani isu kesesakan di pintu masuk negara yang sering menyebabkan masa menunggu yang panjang.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata inisiatif penggunaan kod QR bakal memberikan pengalaman perjalanan yang lebih pantas, lancar dan efisien kepada rakyat Malaysia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619