PMKS, koperasi terjejas banjir nikmati moratorium pinjaman enam bulan

18 Dis 2025, 4:27 AM
PMKS, koperasi terjejas banjir nikmati moratorium pinjaman enam bulan

SHAH ALAM, 18 DIS: Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi yang terjejas akibat banjir di seluruh negara layak menikmati moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan daripada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, berkata moratorium tanpa faedah itu berkuat kuasa serta-merta dan melibatkan pinjaman daripada tujuh agensi di bawah kementerian berkenaan, lapor New Straits Time.

“Moratorium enam bulan tanpa faedah ini diberikan kepada PMKS dan koperasi yang terkesan akibat banjir di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat hari pertama beliau memulakan tugas di kementerian itu, hari ini.

Moratorium tersebut melibatkan pinjaman daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SME Corp Malaysia, Tekun Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) serta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Beliau menasihatkan usahawan yang terjejas supaya menghubungi agensi pembiaya masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pelaksanaan moratorium.

Dalam perkembangan lain, Sim turut mengumumkan perancangan untuk meningkatkan pembiayaan Bumiputera di bawah Tekun daripada RM300 juta tahun ini kepada RM500 juta pada 2026.

Selain itu, peruntukan bagi Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) akan dinaikkan daripada RM30 juta kepada RM50 juta, manakala satu skim pembiayaan baharu khusus untuk PMKS Cina bernilai RM50 juta dijadualkan dilancarkan pada Januari depan.

Sim berkata beliau telah mengarahkan pengurusan kementerian untuk menyemak semula semua proses, prosedur dan kos melibatkan pihak berkepentingan, khususnya PMKS dan koperasi, bagi memastikan kecekapan serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih mesra.

Beliau turut memperkenalkan strategi baharu kementerian dikenali sebagai ABCD, yang memberi tumpuan kepada Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran bagi memacu pertumbuhan perniagaan negara.

“Dasar, program dan peraturan kementerian selepas ini akan berpandukan strategi ABCD bagi memastikan ekosistem PMKS dan koperasi negara kekal mesra perniagaan, cekap dan berdaya saing,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619