Ringgit cecah paras tertinggi hampir lima tahun, dibuka 4.07 banding dolar AS

18 Dis 2025, 1:32 AM
Ringgit cecah paras tertinggi hampir lima tahun, dibuka 4.07 banding dolar AS

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Ringgit dibuka mengukuh pada paras 4.07 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, paras tertinggi dalam tempoh hampir lima tahun walaupun dolar AS meningkat ketika penggiat pasaran terus meneliti hala tuju dasar bank pusat negara maju itu.

Setakat jam 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0795/0915 berbanding dolar AS daripada 4.0855/0940 pada akhir urus niaga semalam.

Kali terakhir paras itu dicatatkan adalah pada 3 Mac 2021 iaitu 4.0720 berbanding dolar AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) telah meningkat 0.25 peratus kepada 98.389 mata berikutan ulasan terkini pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) bahawa mereka tidak tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah.

Beliau berkata Gabenor Fed Christopher Waller membuat kenyataan bahawa kadar dasar semasa kekal 50 hingga 100 mata asas di atas kadar neutral dan bank pusat AS itu masih mempunyai ruang untuk menurunkan lagi kadar berkenaan.

Waller juga berkata tidak timbul sebarang keperluan mendesak untuk melaraskan dasar itu dengan segera berikutan pasaran tenaga kerja yang lemah secara berperingkat.

“Semalam, ringgit ditutup 0.10 peratus lebih rendah berbanding dolar AS. Oleh itu, menjangkakan ringgit diniagakan dalam julat 4.08 hingga 4.09 berbanding dolar AS hari ini,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Dalam pada itu, pada sesi awal hari ini, ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit rendah berbanding pound Britain kepada 5.4555/4716 daripada 5.4439/4553 semalam dan susut berbanding euro kepada 4.7897/8038 daripada 4.7866/7965.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.6236/6315 daripada 2.6267/6321 semalam.

Berbanding mata wang negara rantau ASEAN yang lain, ringgit sebaliknya mengukuh.

Ini termasuk meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1592/1688 daripada 3.1614/1682, naik berbanding baht Thailand kepada 12.9467/9930 daripada 12.9657/9989, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 244.3/245.2 daripada 244.7/245.3 dan bertambah baik berbanding peso Filipina kepada 6.95/6.97 daripada 6.96/6.97 sebelum ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619