Kokurikulum bentuk jati diri dan kepimpinan pelajar, kata Dr Zambry

18 Dis 2025, 1:31 AM
Kokurikulum bentuk jati diri dan kepimpinan pelajar, kata Dr Zambry

SHAH ALAM, 18 DIS: Aktiviti kokurikulum bukan sekadar pelengkap kepada kecemerlangan akademik, sebaliknya berperanan penting dalam membentuk jati diri, nilai kepimpinan serta keupayaan pelajar berfungsi secara efektif dalam masyarakat dan dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, penglibatan aktif dalam kokurikulum menyokong pembangunan pelajar secara holistik merangkumi aspek akademik, sahsiah, kepimpinan dan kemahiran insaniah, sekali gus melahirkan pemimpin masa hadapan yang berdaya saing dan berintegriti.

Menurut beliau, pendekatan bersepadu antara kurikulum dan kokurikulum penting bagi memastikan pembentukan sahsiah dan jati diri pelajar dilaksanakan secara seimbang, lapor Berita RTM.

“Kita berusaha menghubungkan kurikulum dan kokurikulum secara menyeluruh agar pelajar berkembang sebagai insan yang seimbang, tidak terpisah daripada realiti kehidupan dan bersedia memacu masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Hari Kokurikulum Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Auditorium Utama UIAM, di sini.

Pada majlis sama, turut diadakan sesi telaah buku bertajuk Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Post-Normal Times karya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjadi medan wacana intelektual membincangkan isu kepimpinan, reformasi dan keadilan sosial.

Datuk Seri Dr Zambry menegaskan budaya ilmu dan pemikiran kritikal perlu terus disuburkan dalam kalangan mahasiswa supaya mereka mampu memahami realiti semasa dan menyumbang secara konstruktif kepada pembangunan negara berteraskan nilai Malaysia MADANI.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang juga alumni UIAM.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619