Malaysia ketinggalan kepada Thailand separuh masa pertama, beraksi dengan 10 pemain

15 Dis 2025, 2:54 PM
Malaysia ketinggalan kepada Thailand separuh masa pertama, beraksi dengan 10 pemain

SHAH ALAM, 15 DIS: Skuad Harimau Malaya bawah 23 tahun (B-23) berdepan tugas getir untuk mara ke perlawanan akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2025 apabila ketinggalan 0-1 kepada tuan rumah Thailand pada separuh masa pertama aksi separuh akhir di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Thailand membuka jaringan seawal minit kelapan menerusi sepakan percuma Yotsakorn Burapha yang menewaskan penjaga gol negara, Zulhilmi Sharani.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad negara meningkatkan tempo permainan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-13, namun tandukan Danish Hakimi Sahaludin berjaya diselamatkan penjaga gol Thailand, Sorawat Phosaman.

Bagaimanapun, cabaran Harimau Malaya B-23 bertambah sukar apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Muhammad Aiman Yusuf Muhammad Nabil dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-16 susulan tindakannya menarik pemain lawan, Iklas Sanron, lapor Harian Metro.

Meskipun kekurangan seorang pemain, skuad kendalian negara tetap berusaha mengimbangi permainan Thailand dan mencipta beberapa peluang berbahaya.

Percubaan Haykal Danish Mohd Haizon pada minit ke-29 dan sepakan Faris Danish Mohd Asrul tiga minit kemudian memaksa Sorawat Phosaman bekerja keras untuk memastikan gawang Thailand tidak dibolosi.

Skuad negara dijangka terus meningkatkan tekanan pada babak kedua dalam usaha memburu gol penyamaan sekali gus menghidupkan peluang untuk mara ke pentas akhir temasya dwitahunan itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619