Tamat kemarau 22 tahun emas, Andre Anura ungguli lompat jauh lelaki

15 Dis 2025, 2:22 PM
Tamat kemarau 22 tahun emas, Andre Anura ungguli lompat jauh lelaki

BANGKOK, 15 DIS: Atlet olahraga negara Andre Anura Anuar menebus kegagalan merangkul emas hatrik lompat kijang lelaki Khamis lalu dengan mengungguli acara lompat jauh lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Suphachalasai, di sini, hari ini.

Kejayaan tersebut menyaksikan atlet berusia 26 tahun itu melakukan lompatan 7.71 meter (m) untuk merangkul emas, sekali gus menamatkan kemarau 22 tahun negara dalam acara tersebut yang kali terakhir dimenangi Shahrul Amri Suhaimi pada edisi 2003 di Hanoi, Vietnam.

Beliau mengenepikan cabaran atlet Filipina dan juara bertahan Janry Ubas yang melakukan lompatan 7.64m, manakala Andrew George Medina dari Singapura pula memperoleh gangsa (7.53m).

Andre berkata beliau seakan tidak percaya menggenggam pingat emas pada Sukan SEA kali ini, terutamanya selepas rezeki tidak memihak kepadanya sebelum ini apabila hanya meraih perak dalam acara lompat kijang lelaki, apatah lagi dapat mengatasi Janry hari ini.

“Saya tahu saya kalah di lompat kijang, kemudian saya tahu untuk menebus kekecewaan...lompat jauh ini harapan yang saya ada.

“Sebenarnya, saya masih lagi belum percaya. Namun saya gembira sehingga buka baju lari sana sini,” kata pemegang rekod kebangsaan bagi acara berkenaan, iaitu 8.02m ketika meraih pingat perak pada temasya Sukan SEA Filipina 2019, kepada pemberita di sini.

Beliau juga mendedikasikan pingat emas kepada isteri dan juga pemain skuasy negara Aifa Azman, selain keluarga di Sabah yang banyak memberinya motivasi sebelum ini.

Andre Anura pada masa sama berkata beliau akan mengalih tumpuan untuk menghadapi temasya Sukan Komanwel 2026 di Glasgow.

Khamis lalu, Andre Anura melakukan 16.29m, sekali gus menyaksikan beliau terlepas pingat emas lompat kijang lelaki kepada wakil Vietnam Ho Trong Manh Hung menerusi catatan 16.33m manakala gangsa milik Gabriel Jing Yi dari Singapura dengan catatan 16.09m.

Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini melibatkan dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619