Penduduk Aceh zahir penghargaan kepada Anwar Ibrahim, rakyat Malaysia atas bantuan banjir

14 Dis 2025, 8:44 AM
Penduduk Aceh zahir penghargaan kepada Anwar Ibrahim, rakyat Malaysia atas bantuan banjir

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Penduduk Desa Pante Lhong di Aceh, Indonesia merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh rakyat Malaysia atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan susulan banjir besar di kawasan itu baru-baru ini.

Kepala Desa Pante Lhong, Muridjal berkata sokongan dan bantuan berkenaan memberi suntikan semangat kepada penduduk untuk bangkit selepas kampung mereka mengalami kemusnahan teruk akibat bencana itu.

“… khusus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh rakyat Malaysia yang memberikan perhatian kepada kami sehingga kami kembali bersemangat dan bersedia untuk meneruskan aktiviti harian.

“Atas bantuan yang diberikan dalam bentuk ubat-ubatan mahupun makanan yang diperlukan oleh masyarakat Pante Lhong, kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih,” katanya dalam rakaman video yang dikongsikan kepada Bernama hari ini.

Muridjal turut merayu agar bantuan berterusan dapat disalurkan memandangkan proses pemulihan dijangka mengambil masa yang panjang.

“Kami mohon agar tidak ditinggalkan kerana perjalanan kami untuk pulih daripada keadaan ini masih panjang,” katanya menerusi video berdurasi 1 minit 14 saat itu.

Pada 22 November lepas, banjir dan tanah runtuh yang dahsyat dilaporkan melanda tiga wilayah di Sumatera, iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat susulan hujan lebat berpanjangan dan Ribut Tropika Senyar.

Agensi Pengurangan Bencana Kebangsaan (BNPB) Indonesia melaporkan setakat 10 Dis, jumlah korban akibat bencana itu mencecah 969 orang, manakala 252 lagi masih hilang. Bencana itu turut merosakkan kira-kira 158,000 rumah di 52 wilayah terjejas.

Susulan itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta menghantar bantuan kemanusiaan seperti bekalan makanan dan barangan keperluan asas, selain petugas kesihatan dan ubat-ubatan ke wilayah terjejas.

Pada 11 Dis, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan sumbangan sebanyak RM500 seorang kepada pelajar Indonesia yang sedang menuntut di negara ini dan terkesan akibat bencana banjir serta tanah runtuh di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619