UEC tidak penuhi kurikulum kebangsaan, tiada akreditasi antarabangsa

14 Dis 2025, 10:31 AM
UEC tidak penuhi kurikulum kebangsaan, tiada akreditasi antarabangsa

SHAH ALAM, 14 DIS: Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak boleh diiktiraf sebagai kelayakan tunggal dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan berikutan tidak memenuhi keperluan kurikulum negara selain tidak mempunyai akreditasi antarabangsa yang diiktiraf, kata pakar pendidikan, Dr Radin Muhd Imaduddin.

Menurut beliau, kekeliruan masyarakat timbul apabila isu kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menggunakan kelayakan UEC disamakan dengan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan sektor awam, sedangkan kedua-duanya tertakluk kepada syarat berbeza.

“IPTS bersifat market-driven admission dan bebas menetapkan syarat kemasukan masing-masing. Namun, pengiktirafan sebagai kelayakan kebangsaan tertakluk kepada undang-undang, kawal selia dan kurikulum negara,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Dr Radin yang juga Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pendidikan berkata, sedangkan di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) sendiri mengiktiraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai kelayakan rasmi negara.

“Hampir semua pelajar SMPC menduduki SPM pada usia 17 tahun kerana ia satu-satunya kelayakan kebangsaan yang diiktiraf kerajaan.

“Selepas itu, mereka menduduki UEC pada peringkat Senior Middle 3 sebagai laluan alternatif ke IPTS atau universiti luar negara,” katanya lagi.

Susulan dari itu, sekitar 8,000 hingga 10,000 pelajar SMPC menduduki kedua-dua peperiksaan SPM dan UEC setiap tahun, namun dianggarkan 10 hingga 15 peratus gagal memperoleh sijil SPM kerana tidak lulus Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Golongan inilah yang berdepan kekangan untuk memasuki IPT awam dan sektor perkhidmatan awam. Selebihnya masih boleh meneruskan pengajian dengan SPM, manakala UEC bertindak sebagai nilai tambah,” katanya.

Mengulas tuntutan pengiktirafan UEC, Dr Radin menegaskan isu sebenar ialah apabila ia diminta diterima sebagai syarat tunggal kemasukan ke IPT awam dan sektor kerajaan.

Beliau menggariskan empat sebab utama mengapa UEC tidak boleh diiktiraf dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.

Pertama, katanya, UEC tidak dikawal selia oleh mana-mana badan peperiksaan kebangsaan atau antarabangsa yang diiktiraf. Kedua, ia dibangunkan oleh Dong Jiao Zong, sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), dan pengiktirafan peperiksaan NGO sebagai kelayakan kebangsaan boleh menjejaskan mandat Kementerian Pendidikan sebagai penjamin standard negara.

Seterusnya, UEC tidak berasaskan Kurikulum Kebangsaan seperti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) atau Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), selain tidak mewajibkan Bahasa Melayu dan mata pelajaran teras sebagai pembinaan identiti nasional.

“UEC berada dalam ruang vakum bukan kurikulum negara dan bukan juga kurikulum global,” katanya.

Keempat, beliau menjelaskan Akta Pendidikan 1996 menetapkan bahawa kelayakan kebangsaan mesti dibangunkan atau diselia oleh badan yang dilantik menteri dan berasaskan kurikulum kebangsaan, iaitu syarat yang tidak dipenuhi oleh UEC.

“Ini bukan soal politik atau sentimen, tetapi soal perundangan dan kenegaraan. Tanpa pindaan akta serta penyelarasan kurikulum, tiada asas undang-undang untuk pengiktirafan,” katanya.

Beliau menambah, IPTS termasuk institusi milik kerajaan negeri bebas menerima UEC kerana tidak tertakluk kepada syarat sama seperti IPT awam.

Sementara itu, Dr Radin turut menjelaskan bahawa lepasan UEC masih boleh memohon ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan sektor kerajaan, namun bukan berasaskan UEC semata-mata.

“Setiap calon mesti memiliki sijil SPM dengan sekurang-kurangnya lulus Bahasa Melayu dan Sejarah. UEC hanya bertindak sebagai nilai tambah, khususnya bagi memenuhi keperluan guru Bahasa Cina,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619