98 individu terima darjah, bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor

10 Dis 2025, 9:19 AM
98 individu terima darjah, bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor

SHAH ALAM, 10 DIS: Sebanyak 98 individu akan menerima Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-80 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata daripada jumlah itu, seorang individu menerima Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K.II) manakala dua individu menerima Darjah Kelas Pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Dato’ Seri' bagi lelaki dan 'Datin Paduka Seri' bagi wanita.

Beliau berkata tiga individu dianugerahkan Darjah Kelas Pertama Dato' Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.l.S.) yang membawa gelaran 'Dato’ Setia' bagi lelaki dan 'Datin Paduka Setia' bagi wanita, manakala 16 individu menerima Darjah Kelas Kedua Dato' Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran 'Dato' bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi wanita.

"Sebanyak 17 individu menerima Darjah Kelas Kedua Dato' Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.l.S.) yang turut membawa gelaran 'Dato’ bagi lelaki dan 'Datin Paduka' bagi wanita," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadzli berkata Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (A.K.S) kepada seorang penerima.

Dalam pada itu, 10 individu masing-masing menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S) dan Darjah Kebesaran Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S).

Sempena ulang tahun keputeraan itu juga, Sultan Selangor berkenan untuk mengurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) dan Darjah Kebesaran Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S), masing-masing 15 penerima, Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (seorang) dan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C) (tujuh individu).

Ahmad Fadzli berkata kerajaan negeri menerima 2,449 pencalonan tahun ini dan daripada jumlah itu, 955 ialah pencalonan bagi Darjah dan Bintang Kebesaran manakala 1,494 untuk Pingat-Pingat Negeri Selangor.

Kesemua 98 individu itu, katanya telah melepasi tiga tapisan utama iaitu Polis Diraja Malaysia (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619