Yayasan KOSMA sedia peruntukan lebih RM1 juta bantu pelajar B40

7 Dis 2025, 10:00 AM
Yayasan KOSMA sedia peruntukan lebih RM1 juta bantu pelajar B40

SHAH ALAM, 7 DIS: Yayasan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) memperuntukkan lebih RM1 juta tahun ini untuk melaksanakan program ‘Moh Ke Sekolah’ bagi membantu pelajar kurang berkemampuan di seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Zamri Mohamed berkata peruntukan itu merangkumi pemberian peralatan sekolah serta sumbangan tunai bagi membantu keluarga membuat persiapan sesi persekolahan baharu tahun depan.

Menurut beliau, walaupun Yayasan KOSMA berpangkalan di Pahang, pihaknya komited memperluas jaringan kebajikan bagi memastikan lebih ramai penerima di setiap negeri dapat dibantu.

“Kita baru selesai program di Sabah, Sarawak dan Melaka. Hari ini kita berada di Selangor untuk membantu pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan insya-Allah minggu depan ke Kedah untuk menyalurkan bantuan sama.

Pengerusi Yayasan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) Datuk Zamri Mohamed. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Keseluruhannya, lebih RM1 juta diperuntuk tahun ini sebagai sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memastikan anak-anak daripada keluarga memerlukan dapat memulakan persekolahan dengan lebih yakin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kembali Ke Sekolah DUN Kota Anggerik di sini, hari ini.

Turut hadiri EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi, yang juga Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik.

Pada program itu, seramai 500 pelajar menerima bantuan berupa wang tunai, alat tulis dan beg sekolah yang disumbangkan oleh Yayasan KOSMA serta Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Zamri turut berharap bantuan diberikan mampu mengurangkan beban kewangan ibu bapa, selain memberi motivasi kepada pelajar menjelang sesi persekolahan 2026.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619