PPAS umum penubuhan Pusat Ilustrasi Buku Kanak-kanak

7 Dis 2025, 2:51 AM
PPAS umum penubuhan Pusat Ilustrasi Buku Kanak-kanak

Shah Alam, 7 Disember 2025: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mengumumkan penubuhan Pusat Ilustrasi Buku Kanak-kanak pertama di Malaysia, langkah penting dalam memperkasa literasi awal dan pembangunan industri kreatif negara.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengarah PPAS, Datin Paduka Hjh. Mastura Hj. Muhamad, ketika merasmikan pelancaran 15 buku cerita kanak-kanak pelbagai kaum terbitan Gapena di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025, semalam

Majlis yang berlangsung di Pentas Utama, Pusat Konvensyen Setia City itu menyaksikan pelancaran koleksi buku yang dihasilkan menerusi Bengkel Kepengarangan & Penerbitan Buku Kanak-kanak Pelbagai Kaum anjuran Gapena pada Oktober lalu.

Inisiatif tersebut menggabungkan penulis, ilustrator, dan penyunting daripada pelbagai komuniti, sekali gus memupuk pemahaman dan empati sejak usia awal melalui penceritaan.

Menurut Datin Paduka Mastura, pusat yang bakal diwujudkan PPAS itu akan menjadi hab rujukan nasional merangkumi fungsi arkib, pameran, penyelidikan dan pendidikan dalam bidang ilustrasi buku kanak-kanak.

“Apabila seorang kanak-kanak membuka buku, dia bukan hanya membaca huruf. Dia sedang membaca manusia, budaya, dan masa depannya. PPAS komited menyokong usaha yang membina akar perpaduan melalui pembacaan,” katanya.

Pusat berkenaan turut disasarkan sebagai platform pembangunan bakat baharu dalam bidang ilustrasi, reka bentuk dan penulisan, selain memperkukuh peranan literasi visual dalam pendidikan awal.

Sebagai sokongan terhadap pelancaran buku-buku terbitan Gapena itu, PPAS mengumumkan pembelian 100 naskhah bagi setiap 15 judul untuk dijadikan koleksi awal pusat ilustrasi tersebut.

Langkah ini disambut baik oleh Gapena dan para pengkarya sebagai usaha strategik memartabatkan sastera dan ilustrasi kanak-kanak tempatan.

Timbalan Presiden Gapena, Zainal Mohd Jais, berkata projek penerbitan ini bukan sahaja menghasilkan buku semata-mata, malah membina kesedaran nasional melalui imaginasi dan pengalaman visual kanak-kanak.

Koleksi tersebut menampilkan tema pelbagai budaya seperti makanan tradisi, permainan warisan, kehidupan komuniti minoriti, adat perkahwinan, bahasa dan pakaian tradisional. Dihasilkan oleh ilustrator muda dan berpengalaman, setiap buku menjadi dokumen kebudayaan yang merakam identiti Malaysia secara inklusif.

Pelancaran ini menjadikan SIBF 2025 bukan sahaja platform jualan buku, tetapi medan penting memperkukuh ekosistem kreatif yang menyokong perpaduan dan pembentukan masyarakat celik budaya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619