Dua rakyat Malaysia di Aceh ditemui selamat, dua lagi masih dicari

4 Dis 2025, 12:04 PM
Dua rakyat Malaysia di Aceh ditemui selamat, dua lagi masih dicari

SHAH ALAM, 4 DIS: Dua daripada tiga rakyat Malaysia yang sebelum ini gagal dihubungi susulan banjir dan tanah runtuh di Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara sejak 27 November lalu telah ditemui selamat.

Menurut Kementerian Luar, kedua-duanya, berusia 63 dan 64 tahun, berjaya dibawa keluar dari kawasan yang terputus hubungan sebelum diterbangkan Tentera Udara Indonesia dari Lapangan Terbang Rembele, Takengon ke Medan.

"Konsulat Jeneral Malaysia di Medan kini menguruskan urusan kepulangan mereka ke tanah air. Sementara itu, seorang lagi wanita Malaysia berusia 64 tahun masih belum ditemui," katanya dalam kenyataan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketujuh dengan pencarian tertumpu di tebing sungai dan zon runtuhan berhampiran Jambatan Kembar di Padang Panjang.

Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan laluan darat ke beberapa kawasan pedalaman yang sebelum ini terputus kini dibuka semula oleh pihak berkuasa Indonesia, membolehkan penghantaran makanan, ubat-ubatan dan bekalan asas disalurkan dengan lebih teratur.

Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan sentiasa berwaspada, mengikuti arahan pihak berkuasa tempatan serta mendaftar dengan perwakilan Malaysia terdekat bagi memudahkan koordinasi kecemasan.

Individu yang gagal menghubungi waris di kawasan bencana boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan +62 823-6164-6046 (24 jam) atau emel mwmedan@kln.gov.my

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619