MSN iktiraf UM sebagai pusat latihan sukan tempur kebangsaan

2 Dis 2025, 11:42 AM
MSN iktiraf UM sebagai pusat latihan sukan tempur kebangsaan

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Majlis Sukan Negara (MSN) dan Universiti Malaya (UM) mencapai persetujuan menjadikan institusi pengajian tinggi (IPT) itu sebagai pusat latihan kebangsaan bagi sukan tempur.

MSN dalam kenyataan memaklumkan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara kedua-dua pihak telah berlangsung di UM di sini hari ini.

“MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin dan Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman,” menurut kenyataan itu.

Jefri dalam kenyataan sama berkata MSN amat menghargai kesediaan UM untuk menjadi pusat latihan kebangsaan dan ia akan dimanfaatkan dengan menempatkan atlet-atlet pelapis negara.

“MSN berterima kasih kepada UM yang turut bersetuju menyediakan penginapan, pusat latihan dan kemudahan perkhidmatan sains sukan,” katanya.

Jefri berkata atlet-atlet pelapis yang dikenal pasti untuk ditempatkan di pusat latihan berkenaan juga akan dipilih berdasarkan kepada kelayakan mereka mengikuti pengajian di universiti tertua negara itu.

Menerusi memorandum yang ditandatangani pada hari ini, Jefri berkata UM bersetuju menawarkan syarat kemasukan yang lebih fleksibel kepada atlet dalam program MSN selain kemudahan lain seperti pengecualian kredit aktiviti kokurikulum serta cuti untuk mengikuti kejohanan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata MSN juga bercadang membuka peluang itu untuk dinikmati oleh atlet-atlet dari negeri-negeri yang turut memenuhi syarat kelayakan.

Turut ditawarkan menerusi MoU yang diterajui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet Malaysia (MACE) MSN ialah kemudahan untuk atlet melanjutkan tempoh pengajian demi memastikan perkembangan sebagai atlet tidak terjejas selain pelbagai fasiliti bertaraf tinggi dimiliki UM yang boleh digunakan sepenuhnya oleh atlet pelapis kebangsaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619