Aktiviti songsang: Jawi panggil individu untuk rakam percakapan

1 Dis 2025, 1:20 PM
Aktiviti songsang: Jawi panggil individu untuk rakam percakapan

PUTRAJAYA, 1 DIS: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini mengambil keterangan dan merakam percakapan sekumpulan lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti tidak bermoral di sebuah kelab kesihatan di ibu negara pada Jumaat lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Orang Yang Disyaki (OYDS) tersebut telah dipanggil ke Bahagian Penguatkuasaan Jawi untuk diambil keterangan dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata rakaman percakapan tersebut dijalankan berdasarkan Seksyen 59, Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) [Akta560] 1997.

“Jawi telah selesai mengadakan siasatan terhadap individu yang disyaki bagi tujuan siasatan berkaitan Seksyen 25 (Liwat), Seksyen 29 (Perbuatan Tidak Sopan di Tempat Awam) dan Seksyen 47 (Percubaan) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559),” katanya.

Beliau berkata OYDS telah hadir ke Cawangan Siasatan, Bahagian Penguatkuasaan Jawi dan memberikan kerjasama yang baik ketika sesi rakaman percakapan diadakan.

“Seterusnya, rakaman percakapan saksi pula akan dibuat dalam masa terdekat untuk mengumpulkan maklumat dan keterangan bagi menyokong keterangan mereka,” katanya.

Mohd Na’im menyeru semua pihak agar tidak sekali-kali memandang remeh terhadap gejala keruntuhan moral ini dan berkata isu ini jika dibiarkan mampu menghancurkan jati diri generasi akan datang serta mencemarkan maruah negara.

“Institusi dakwah perlu memperhebat usaha penerangan tentang kefahaman Islam yang murni kepada masyarakat,” katanya.

Jumaat lepas, 17 penjawat awam antara 208 individu ditahan dalam serbuan itu yang turut melibatkan rampasan kondom dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk tujuan tidak bermoral.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619