Selangor tersingkir di separuh akhir Piala FA

1 Dis 2025, 12:00 AM
Selangor tersingkir di separuh akhir Piala FA

SHAH ALAM, 1 DIS: Sabah bangkit mengikat Selangor 3-3 sebelum menyingkirkan lawan itu dalam penentuan sepakan penalti aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium MBPJ malam tadi.

Selepas terikat 2-2 dalam aksi pertama di Likas awal bulan ini, Faisal Halim meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-32 untuk kedudukan itu kekal sehingga ke bilik persalinan.

Bagaimanapun, aksi sebenar dapat disaksikan dalam babak kedua, di mana Sabah hanya memerlukan seminit selepas perlawanan bersambung untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Dane Ingham, lapor Stadium Astro.

Selangor kembali di depan hasil jaringan Chrigor Moraes pada minit ke-51, hanya untuk sekali lagi dikejar Sabah menerusi gol Ajdin Mujagic pada minit ke-61.

Faisal Halim sekali lagi membuktikan ketajamannya di depan gawang pada minit ke-72 untuk Selangor sekali lagi berada di depan.

Bagaimanapun, semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati pertahanan Selangor, Raimi Shamsul, menjatuhkan Farhan Roslan dalam kawasan penalti dan kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya Mujagic untuk sekali lagi menyamakan kedudukan.

Malang berganda menimpa Selangor apabila Mamadou Diarra dialayangkan kad merah selepas semakan VAR mendapati pemain itu menyiku Fakrul Iman Naszari.

Dengan kedudukan terikat 5-5 secara agregat, perlawanan itu terpaksa diheret ke masa tambahan tetapi masih belum ada pemenang dapat ditentukan.

Penjaga gol Sabah, Damien Lim, muncul wira Sabah dalam penentuan penalti, di mana dia menyelamatkan tendangan Harith Haiqal Adam Afkar dan Mohammad Abualnadi untuk Sang Badak ke final dengan kemenangan 5-4.

Sabah akan berdepan JDT bagi penentuan gelaran pada 14 Disember ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619