AKPS tumpas cubaan seludup 9.25kg kokain di KLIA

30 Nov 2025, 9:39 AM
AKPS tumpas cubaan seludup 9.25kg kokain di KLIA

SHAH ALAM, 30 NOV: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 9.25 kilogram kokain oleh seorang wanita warga Thailand pada 28 November lalu.

Dalam kenyataan semalam, agensi itu memaklumkan cubaan tersebut dikesan sekitar jam 7.10 pagi di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA Terminal 1 ketika pemeriksaan rutin mesin pengimbas bagasi terhadap penumpang penerbangan Turkish Airlines dari Istanbul, Turkiye.

Hasil pemeriksaan lanjut bersama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menemui dua anak patung diubah suai yang mengandungi bungkusan padat disyaki dadah jenis kokain.

Menurut AKPS, rampasan seberat 9.25 kilogram itu dianggarkan bernilai antara RM1.8 juta hingga RM2 juta berdasarkan harga pasaran semasa.

“Suspek telah ditahan dan diserahkan kepada pihak JKDM untuk tindakan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata kenyataan itu.

AKPS menegaskan pihaknya kekal komited memperkukuh keselamatan negara melalui kawalan sempadan bersepadu, pemantauan berterusan serta kerjasama strategik bersama agensi keselamatan lain bagi mengekang sebarang bentuk penyeludupan dan ancaman rentas sempadan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619