11,155 calon PSRA 2025 peroleh Mumtaz, meningkat berbanding tahun lalu - Jais

27 Nov 2025, 4:48 AM
11,155 calon PSRA 2025 peroleh Mumtaz, meningkat berbanding tahun lalu - Jais

SHAH ALAM, 27 NOV: Peratus calon memperoleh pangkat Mumtaz bagi Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2025 melonjak ketara, sekali gus menjadi indikator utama peningkatan prestasi keseluruhan peperiksaan tahun ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata sebanyak 24.1 peratus atau 11,155 calon mencapai Mumtaz berbanding 20.5 peratus atau 9,178 calon tahun lalu.

“Peningkatan ini menunjukkan usaha berterusan para murobbi, kesungguhan murid, sokongan ibu bapa serta kerjasama komuniti yang kukuh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata jumlah calon mendapat Jayyid Jiddan (sangat baik) turut meningkat ketara kepada 41.6 peratus (19,305 calon) berbanding 33.2 peratus (14,865 calon) tahun lalu.

“Sementara itu, calon memperoleh Jayyid menurun sedikit kepada 19.9 peratus, manakala kategori Maqbul dan Musaadah menunjukkan penurunan lebih besar berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Dari segi mata pelajaran, hampir semua kertas mencatat peningkatan termasuk Akhlak dan Sirah, Bahasa Arab, Tauhid dan Fekah serta Tajwid, masing-masing merekodkan lonjakan antara 6 hingga 10 peratus.

“Kertas Tilawah dan Hafazan pula mengekalkan rekod 99.9 peratus lulus,” jelasnya.

Peningkatan keseluruhan itu turut memperbaiki Gred Purata Negeri (GPN) kepada 2.21 berbanding 2.53 tahun lalu, menandakan prestasi semakin cemerlang.

Sehubungan itu, katanya, JAIS akan terus melaksanakan langkah sewajarnya bagi mempertingkatkan mutu PSRA pada masa akan datang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619