Wanita jadi mangsa pemerdagangan manusia hampir 16 tahun diselamatkan

26 Nov 2025, 9:18 AM
Wanita jadi mangsa pemerdagangan manusia hampir 16 tahun diselamatkan

PUTRAJAYA, 26 NOV: Jabatan Imigresen (JIM) menyelamatkan seorang wanita Indonesia yang dipercayai mangsa pemerdagangan manusia selama hampir 16 tahun dalam serbuan di sebuah kediaman di Batu Caves, Selangor, Isnin lalu.

Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata mangsa berusia 56 tahun itu ditemukan bersembunyi di bawah sebuah kereta pacuan empat roda atas arahan majikan bagi mengelak dikesan ketika pemeriksaan.

“Mangsa dilaporkan bekerja sebagai pembantu rumah selama hampir 16 tahun tanpa memiliki pas sah.

“Berdasarkan pengakuan awal, mangsa hanya dijanjikan gaji RM600 sebulan namun tidak menerima bayaran sejak dua tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata mangsa trauma kerana sering dimarah dan pernah dipukul selain tidak dibenarkan menyimpan pasport, menggunakan telefon bimbit atau menghubungi keluarga serta dipaksa bekerja tanpa rehat sehingga terpaksa mencuri masa untuk tidur.

Beliau berkata pihaknya menahan majikan mangsa, iaitu lelaki warga tempatan berusia 51 tahun yang mengaku mendapatkan khidmat wanita itu melalui ahli keluarga terdekat.

“Operasi oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Ibu Pejabat Imigresen dibuat berdasarkan maklumat sumber,” katanya.

Zakaria berkata operasi menggunakan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang (buruh paksa) berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut ATIPSOM 2007 (Akta 670) dan individu disabitkan bersalah boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat bagi kesalahan lebih berat.

Orang awam diminta menyalurkan maklumat berkaitan eksploitasi warga asing ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA menerusi talian 03-8880 1471 atau e-mel urusetia_p@imi.gov.my.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619