Banjir: Pastikan tiada calon SPM tercicir, JPN Selangor bekerjasama dengan pelbagai agensi

25 Nov 2025, 3:35 AM
Banjir: Pastikan tiada calon SPM tercicir, JPN Selangor bekerjasama dengan pelbagai agensi

SHAH ALAM, 25 NOV: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bekerjasama dengan beberapa agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) termasuk menyediakan penggunaan trak untuk memastikan tiada calon tercicir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Pengarah Pendidikan Selangor (Sektor Pengurusan Sekolah) Mohd Azuan Mohd Nawawi berkata seramai 125 calon SPM daripada 14 sekolah di negeri ini terjejas akibat bencana alam, termasuk banjir.

Daripada jumlah itu, 118 calon terkesan akibat banjir manakala 11 lagi disebabkan kejadian tanah runtuh.

“Calon diberi pilihan untuk menduduki peperiksaan di pusat asal atau mana-mana pusat yang berhampiran.

“Kita juga bekerjasama dengan agensi lain termasuk APM bagi menyediakan trak supaya tiada calon tercicir,” katanya seperti dilapor Kosmo!.

Beliau memaklumkan seramai 57 calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dusun Nanding, Hulu Langat ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi memudahkan urusan peperiksaan memandangkan kawasan kediaman mereka terjejas banjir.

“Sekolah berkenaan tidak terjejas dan pusat peperiksaan berjalan seperti biasa. Enam guru ditempatkan sepenuh masa bagi tujuan kawalan serta keselamatan,” katanya.

Tambah Mohd Azuan, pihaknya turut mengenal pasti 558 calon berisiko daripada 26 sekolah yang berkemungkinan terjejas akibat bencana alam.

Selangor merekodkan 75,489 calon SPM tahun ini melibatkan 502 pusat peperiksaan dengan 8,720 petugas termasuk pegawai peperiksaan dalam kalangan sukarelawan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619